Sunday, July 22, 2012

TAMBAH PAKAR DIETETIK

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan akan mempertingkatkan bilangan pakar dietetik di negara ini berdasarkan keperluan semasa dalam usaha membendung penyakit tidak berjangkit (NCD) yang semakin meningkat sejak lima tahun kebelakangan ini. Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kehadiran lebih ramai pakar dietetik di kementerian mampu mencegah pelbagai penyakit NCD seperti diabetes dan kolesterol yang menjadi ancaman kepada penduduk negara ini akibat faktor pemakanan.


“Kementerian Kesihatan akan meningkatkan bilangan pakar dietetik. Kini kita mempunyai 300 pakar itu yang berkhidmat di kementerian ini dan akan terus menambah bilangannya untuk meningkatkan lagi pencegahan dalam negara. “Sejak kebelakangan ini, bilangan pesakit NCD semakin meningkat. Kalau dilihat pada statistik, bilangan pesakit diabetes meningkat daripada 11 peratus kepada 15.1 peratus di kalangan rakyat dari 2006 hingga tahun lalu,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Saintifik 2012 dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Dietitian Malaysia bertemakan ‘Pengurusan Pemakanan dan Gastro-Usus’ di Pusat Perubatan Sunway di sini, semalam.


Pada majlis itu, seramai tujuh pelajar dari tujuh universiti termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terpilih sebagai pelajar terbaik dietetik dan membawa pulang RM250. Hadir sama, Presiden Persatuan Dietitian Malaysia, Indra Balaratnam dan pengerusi penganjur merangkap timbalan pengerusi persatuan, Dr Hazreen Abdul Majid.


Sumber: Hmetro.com.my
             Harian metro online

0 comments:

Post a Comment