Wednesday, March 25, 2015

Program Jom Hidup Sihat : “Sayangi Buah Pinggang Anda”

Salam sejahtera semua.

Pada 7 Februari 2015, Program Jom Hidup Sihat : “Sayangi Buah Pinggang Anda” telah diadakan di Dewan Saidina Abu Bakar As-Siddiq, SMKA Sheikh Abdul Malek. Program ini disertai oleh 150 orang pelajar dan 50 orang pesakit serta ahli keluarga.

Program Jom Hidup Sihat : “Sayangi Buah Pinggang Anda” ini merupakan satu program yang berunsurkan kemasyarakatan dan akan dianjurkan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat setempat mengenai kepentingan menjaga dan mengawal kesihatan buah pinggang serta menjalani gaya hidup sihat. Di samping itu, program ini dijangka dapat mewujudkan interaksi antara mahasiswa/i Ijazah Sarjana muda Dietetik (Kepujian) dengan masyarakat setempat.

Program ini dirangka untuk menjadi salah satu daripada langkah-langkah pencegahan peningkatan jumlah pesakit yang menghidapi masalah penyakit buah pinggang di Malaysia terutamanya di Terengganu. Peningkatan jumlah pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan hemodialisis di Terengganu semakin meningkat dan ada di antara mereka tidak mampu untuk menanggung kos rawatan hemodialisis tersebut. Melalui program ini, satu tabung sumbangan akan dibuka dan hasil kutipan derma tersebut akan di salurkan kepada Persatuan Pusat Hemodialisis Prihatin Tengku Besar Terengganu.

Selain itu, program ini merangkumi pelbagai aspek yang memfokuskan pembangunan modal insan cemerlang kelas pertama yang mampu bersaing secara sihat dan kompetitif setanding dengan mahasiswa/i IPT lain. Antara aspek-aspek yang dititikberatkan termasuklah keterampilan, kepimpinan, sahsaiah diri, kemahiran insaniah dan pembentukan identiti mahasiswa/i yang positif.

Program Jom Hidup Sihat : “Sayangi Buah Pinggang Anda” ini juga merupakan program yang dijalankan bagi memenuhi keperluan subjek Latihan Komuniti pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Dietetik (Kepujian), di mana program ini bakal dijadikan sebagai kayu pengukur dan termasuk dalam sebahagian penilaian akhir kepada subjek Latihan Komuniti yang telah dilalui selama sebulan. Antara pengisian program ini adalah ceramah kepentingan menjaga kesihatan buah pinggang, demontrasi masakan, kuiz dan pameran kesihatan pemakanan.

0 comments:

Post a Comment