Wednesday, March 25, 2015

Program Pemakanan Sihat: “Buah Pinggang Gembira” bersama komuniti Pusat Dialisis Nuraeen, Kuala Terengganu

Salam sejahtera semua.

Pada 5 Februari 2015, Program Pemakanan Sihat: “Buah Pinggang Gembira” bersama komuniti telah diadakan di Pusat Dialisis Nuraeen, Kuala Terengganu. Program ini melibatkan 5 orang pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Dietetik dengan Kepujian yang menjalankan latihan komuniti di Pusat Dialisis Nuraeen, Kuala Terengganu bersama 3 orang penyelia.

Program Pemakanan Sihat: “Buah Pinggang Gembira” bersama komuniti Pusat Dialisis Nuraeen, Kuala Terengganu merupakan program pertama kali diadakan oleh pelajar-pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Dietetik dengan Kepujian, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang menjalankan latihan komuniti di Pusat Dialisis Nuraeen. Idea untuk mengadakan program ini adalah untuk memenuhi tuntutan pengajaran dan pembelajaran bagi kursus Pemakanan Komuniti dan Latihan (HFS4404) dan termasuk dalam sebahagian penilaian akhir kepada subjek tersebut. 

Program ini juga bertujuan untuk mendedahkan dan berkongsi pengetahuan mengenai pemakanan sihat dan kepentingannya kepada warga Pusat Dialisis Nuraeen, Kuala Terengganu. Kami hanya melibatkan 36 orang pesakit daripada jumlah keseluruhan 68 orang pesakit di Pusat Dialisis Nuraeen.

Perjalanan program bermula dengan kehadiran warga dan penjaga Pusat Dialisis Nuraeen, Kuala Terengganu seterusnya dimulakan dengan demo masakan dan berehat sebentar untuk memberi laluan kepada pertukaran shif kedua. Aktiviti diteruskan dengan sesi ceramah mengenai pemakanan sihat diselangi dengan senaman ringan dan juga kuiz. Akhir sekali, program ditamatkan dengan perasmian penutup oleh salah seorang penyelia.

0 comments:

Post a Comment