Wednesday, March 25, 2015

Program Jejak Nutrisi Sihat (JeNS)

Salam sejahtera semua.

Pada 7 Februari 2015, Program Jejak Nutrisi Sihat (JeNS) telah diadakan di Dewan Auditorium, Blok Akademik, Unisza Kampus Gong Badak. Program ini melibatkan 106 orang penghuni anak yatim / fakir miskin dan dikelolakan oleh 8 orang Ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada mahasiswa/i Ijazah Sarjana Muda Dietetik (Kepujian) UniSZA. 

Program Jejak Nutrisi Sihat (JeNS) ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai gaya hidup sihat kepada penghuni Asrama Anak Yatim / Fakir Miskin Darul Akhyar dan juga penjaga asrama sambil mewujudkan interaksi antara mahasiswa/i tahun tiga Ijazah Sarjana muda Dietetik (Kepujian) dan komuniti setempat. 

Program ini merangkumi pelbagai aspek yang memberi fokus untuk membangunkan modal insan kelas pertama yang mampu bersaing secara sihat dan positif setanding dengan mahasiswa/i IPT lain. Antara aspek yang dititikberatkan termasuklah keterampilan, kepimpinan, kemapanan sahsiah diri, kemahiran insaniah dan pembentukan identiti mahasiswa/i yang proaktif. 

Selain itu, program ini juga dapat menjalin kerjasama antara mahasiswa/i UniSZA dengan pihak-pihak yang terlibat seperti Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan pihak pengurusan Asrama Anak Yatim / Fakir Miskin Darul Akhyar. Ini sekali gus dapat mewujudkan jaringan perhubungan yang lebih luas dan membuka peluang untuk mengadakan program seumpama ini pada masa akan datang. 

Program Jejak Nutrisi Sihat (JeNS) ini bertujuan untuk memenuhi keperluan subjek Penempatan Pemakanan dan Komuniti bagi pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Dietetik (Kepujian) yang akan mengikuti latihan komuniti selama 4 minggu sebelum penilaian akhir dibuat.

Program ini juga bertujuan memberi pendedahan dalam aspek pemakanan secara sihat serta penglibatan aktiviti fizikal dalam kehidupan seharian demi mencapai sasaran gaya hidup yang proaktif. Objektif ini akan dicapai melalui beberapa pengisian yang bertemakan kesihatan seperti ceramah pemakanan sihat dan kepentingan imej tubuh badan, demo masakan, ‘Fun & Healthy Explorace’ dan senaman aerobik. 

Pelaksanaan program seumpama ini mampu memberi impak kepada keseluruhan  penghuni anak yatim / fakir miskin khususnya dan komuniti setempat amnya.

0 comments:

Post a Comment